Wira Jantung – Aminah Humairah

Setelah lima tahun menunggu, Puan Shahirah dan keluarga dikurniakan dengan seorang puteri sulung, yang diberi nama Aminah Humairah. Sejak bayi lagi, Aminah didiagnoskan dengan penyakit jantung kongenital. Penyakit jantung kongenital (CHD) merupakan istilah yang merangkumi pelbagai jenis defek jantung. Keadaan Aminah tergolong di bawah penyakit jantung kongenital yang kompleks. 

Aminah didiagnoskan dengan left isomerism – satu penyakit jarang jumpa yang bagi dirinya termasuk beberapa defek jantung sekaligus: VSD (lubang antara ruang bawah jantung), dextrocardia (kedudukan jantung yang abnormal di sebelah kanan), hypoplastic right ventricle (ruang jantung kanan yang tidak terbentuk sepenuhnya), patent ductus arteriosus (PDA – saluran darah duktus arteriosus yang terbuka) dan bilateral superior vena cava (saluran darah vena kava superior di kedua-dua belah jantung – kebiasaannya ada di satu belah sahaja).

Setiap 1 dalam 4 kanak-kanak yang lahir dengan CHD akan mempunyai CHD kompleks dan memerlukan pembedahan sebelum mencapai umur satu tahun. 

Aminah menjalani pembedahan pada umur 2 bulan dan mereka sekeluarga berkampung di hospital selama hampir enam bulan. Puan Shahirah menceritakan yang kekangan dari segi perbelanjaan merupakan cabaran yang terbesar, apatah lagi suaminya seorang sahaja yang bekerja pada waktu itu. Apabila berbincang tentang kos rawatan, jarang kita sebutkan tentang kos perjalanan ulang-alik dan sebagainya. Bagi keluarga Puan Nur Shahirah, disebabkan mereka perlu berulang alik dari Melaka ke Hospital Serdang, kos perjalanan dan masa yang diluangkan juga merupakan salah satu perbelanjaan. 

Kini, Aminah berusia hampir 4 tahun. Aminah seperti budak-budak yang lain dan membesar dengan sihat. Cumanya, sekarang ini dia kerap menjadi biru. Bagi pesakit CHD, kekurangan oksigen boleh menyebabkan bibir, kuku dan kulit berubah menjadi warna biru dan mereka juga dikenali sebagai “Blue Baby”. Jika Aminah terlalu aktif juga, dia akan tercungap-cungap dan cepat penat. 

Puan Shahirah menceritakan yang dia kini telah mendapat banyak ilmu yang sangat bermakna berkaitan penjagaan anaknya. Bagi ibu bapa lain yang mempunyai anak CHD, Puan Shahirah berpesan:  jangan bersedih dan anggaplah ini sebagai satu ujian dari Tuhan. #WiraJantung

Leave a Reply

%d