Wira Jantung – Ayyash Mikael

Bagi Puan Wani, berita yang kandungannya mempunyai keabnormalan jantung merupakan berita yang tidak dijangka. Ayyash Mikael dilahirkan dengan sejenis penyakit jantung kongenital (CHD) yang  dipanggil criss-cross heart. Criss-cross heart adalah antara defek jantung  yang paling jarang dijumpai dan hanya terjadi kurang daripada lapan kali dalam setiap sejuta kelahiran. 

Criss-cross heart ialah apabila kedudukan ruang jantung bagaikan silang-menyilang. Ayyash juga mempunyai DORV (double-outlet right ventricle – di mana dua saluran darah utama dalam jantung (aorta dan arteri pulmonari) tidak bersambung ke jantung dengan tepat) dan TGA (transposition of the great arteries – dua saluran darah utama tadi berkedudukan silang ganti). 

Selepas mendapat tahu berita tentang masalah jantung janin pada umur 22 minggu, Puan Wani menceritakan yang dia berasa sedih dan risau, dan telah menerima kaunseling daripada doktor pakar di Hospital Tunku Azizah. Walaupun sedih, Puan Wani tekad untuk meneruskan kehidupan sebagai ibu mengandung seperti biasa dan berjanji untuk menjaga malaikat kecil ini sedaya upaya. 

Pada usia 2 hari lagi, Ayyash pernah mendapat jangkitan paru-paru dan dimasukkan ke NICU. Selepas mendapat antibiotik dan bekalan oksigen, keadaan Ayyash semakin stabil. 

Kini, Ayyash sudah berumur 9 bulan dan belum lagi menjalani apa-apa pembedahan. Ayyash Mikael bayi yang sangat ceria. Bagi Puan Wani, cabaran yang terbesar adalah melihat anaknya masih menggunakan tiub Ryles untuk minum susu, kerana masih belum kuat untuk menggunakan botol. Tiub Ryles ialah sejenis tiub yang dimasukkan melalui saluran hidung hingga ke perut untuk menyampaikan nutrisi dan cecair yang diperlukan. 

Puan Wani adalah cerminan sifat kecekalan dan ketabahan. Walaupun sedang bekerja dalam keadaan ekonomi yang kurang stabil, dia yakin untuk tidak berputus asa walaupun apa-apa cabaran yang tiba dan meletakkan kepercayaan penuh kepada doktor-doktor pakar untuk membantu Ayyash hidup seperti kanak-kanak yang lain.

Pesanan Puan Wani: Jangan putus harapan. Anak ialah anugerah terindah yang perlu kita jaga sehingga akhir hayat. Negara kita mempunyai ramai pakar dalam bidang ini dan sentiasalah berusaha untuk merawat anak-anak anda. Kepada orang sekeliling, sokongan anda kepada ibu bapa pesakit CHD amat diperlukan dan saya sendiri tidak kuat tanpa sokongan keluarga dan rakan sekeliling saya. 

Terima kasih kepada Puan Wani kerana sudi menceritakan kisahnya yang penuh dengan kasih sayang dan kesabaran. Anda mahu kongsi kisah anda juga? Layari bit.ly/wirajantung! 

#WiraJantung #chd #chdawareness

Leave a Reply

%d