Wira Jantung – Nur Sofea Inara, Idzham Ismail

Bagi pelakon Idzham Ismail, kelahiran Wira Jantung-nya Inara masih segar dalam ingatan. Sebaik selesai mengazankan Inara, Idzham mula perasan kerisauan pada raut muka jururawat.
Selepas sejam menunggu dengan penuh debaran, mereka dipanggil ke NICU.
Akhirnya, doktor memaklumkan yang Inara mempunyai Transposition of the Great Arteries (TGA), di mana dua saluran darah jantung yang utama, aorta dan arteri pulmonari berkedudukan silang ganti. Walaupun mereka mengharapkan diagnosis itu salah, pendapat kedua yang diterima seminggu kemudian mengesahkan keadaan Inara.
Selama Inara di hospital menanti tarikh pembedahan, Idzham tidak pernah gagal melawat Inara pada belah pagi bersama isteri, dan berseorangan pada waktu petang, walaupun sedang dalam tempoh penggambaran yang sibuk. Menurut Idzham, dia sedih melihat keadaan Inara yang tidak menentu. Pada suatu masa, paras oksigen Inara jatuh hingga ke 85%. Pada hari tersebut, Idzham yang sedang bekerja di Port Dickson terus bergegas pulang kerana Inara perlu diintubat dan ditidurkan.
Pembedahan untuk TGA adalah pembedahan yang serius dan besar. Peluang untuk berjaya yang diberi oleh pakar bedah hanyalah 70-30. Pembedahan yang dijangka mengambil 8 jam itu dipanjangkan ke 12 jam.
Pembedahan Inara berlaku pada akhir bulan puasa, menjelang Aidilfitri. Idzham dan isteri hanya mampu menunggu di hotel yang berdekatan, bersama wang simpanan yang hampir habis. Hanya baju raya Inara yang dapat disediakan. Katanya, ”Hanya Tuhan yang tahu dugaan waktu itu. Sehari terasa begitu lama untuk dilalui.”
Syukur ke hadrat Ilahi, pembedahan Inara berjaya, dan mereka sekeluarga beraya di hospital. Menurut Idzham, pengalaman ini mengajarnya untuk lebih bersabar dan menghargai masa bersama anak. “Kalau tidak, saya rasa saya akan lebih banyak bekerja daripada meluangkan masa.”
“Bagi ibu bapa, saya sarankan pergi buat pemeriksaan doktor, terutamanya imbasan yang lebih terperinci. Sekurang-kurangnya boleh buat persediaan awal”.
Hari ini, Inara seorang kanak-kanak 7 tahun yang sihat dan aktif seperti kanak-kanak lain. Inara sering meluangkan masa lapang dengan bermain piano dan menunggang kuda. Cita-cita Inara yang terkini adalah untuk menjadi juruterbang, mungkin setelah melihat gambar uminya bertugas di atas kapal.
Kami doakan semoga Inara dapat terus terbang tinggi ❤️
Mahu ceritakan kisah Wira Jantung anda?
Layari http://bit.ly/wirajantung atau mycongenitalheart.org untuk maklumat lanjut!
©️ Yayasan Jantung Kongenital Malaysia

Leave a Reply

%d