Sejak lahir lagi, hidup Armel Aufa penuh peristiwa.
Armel dilahirkan pada usia 34 minggu pramatang, oleh sebab ibunya juga mempunyai penyakit jantung kongenital, mitral valve stenosis (penyempitan pada injap mitral).
Semasa dalam kandungan lagi, Armel disahkan mempunyai beberapa defek jantung – Interrupted Aortic Arch (IAA – di mana saluran darah terbesar di badan, aorta, tidak terbentuk sepenuhnya), VSD dan ASD (lubang di antara ruang jantung, bawah dan atas) dan PDA (patent ductus arteriosus – saluran darah duktus arteriosus yang terbuka).
Armel juga didiagnoskan dengan Sindrom DiGeorge, serta menghidapi penyakit paru-paru kronik. Sekurang-kurangnya 15% daripada semua kes CHD dikaitkan dengan sindrom genetik, manakala, kebanyakan kes tidak mempunyai punca yang diketahui.
Hanya empat bulan selepas kelahiran, Armel menjalani pembedahan jantung buat pertama kali dalam hidupnya. Pakar bedah pada waktu itu membuat keputusan untuk membaiki semua defek jantung Armel sekaligus untuk memudahkan keadaan Armel.
Sejak pembedahan tersebut, Armel telah melalui pembedahan sebanyak empat lagi kali: pada usia 6 bulan, 8 bulan, 17 bulan dan 19 bulan. Hari ini, Armel baru berusia 3 tahun.
Antara pembedahan yang Armel pernah lalui ialah tracheostomy, bagi memasukkan tiub pernafasan melalui leher serta angioplasti belon dengan stent (balloon angioplasty with stenting) bagi memulihkan saluran darah Armel yang sempit. Stent ialah gegelung mesy yang diletakkan di dalam saluran darah untuk memastikan ia kekal terbuka. Armel perlu melalui pembedahan stenting berkali-kali sehingga dapat memasukkan stent yang lebih kekal.
Disebabkan keadaannya, Armel juga kerap keluar masuk hospital kerana jangkitan kuman, masalah paru-paru yang telah berparut serta daya tahan badan yang lemah.
Armel betul-betul bagaikan seorang wira. Walaupun perlu menghadapi banyak cabaran pada usia yang sungguh muda, Armel masih seorang kanak-kanak yang ceria dan aktif. Kini, Armel suka menonton cerita yang menjadi kegemaran hampir setiap kanak-kanak di Malaysia: Upin & Ipin dan Omar & Hana.
Mahu cerita pasal kisah #WiraJantung anda? Layari bit.ly/wirajantung!