Wira Jantung – Nur Raiesha

Arwah Nur Raiesha seorang Wira Jantung yang sudah meninggalkan dunia fana ini buat selamanya.

Raiesha dilahirkan dengan Sindrom Down dan Tetralogy of Fallot (ToF), sejenis penyakit jantung kongenital (CHD) yang merangkumi empat jenis defek jantung. Dalam lingkungan 50% kanak-kanak Sindrom Down juga mempunyai CHD. Raiesha menjalani pembedahan jantung pada bulan Oktober 2020.

Beberapa bulan kemudian, Raiesha mula demam, sesak nafas dan tidak aktif seperti biasa. Ibunya, Puan Riena, yang mengandung pada waktu itu, menceritakan dia berasa berbelah bahagi untuk membawa anaknya ke jabatan kecemasan hospital, memandangkan kes COVID yang mencanak pada waktu itu.

Selepas ubat dan nebuliser yang diberi di rumah tidak dapat mengubah keadaannya, Puan Riena membawa Raiesha ke hospital. Sampai di hospital, Raiesha rebah dan CPR dimulakan oleh doktor. Kemudian, dia dimasukkan ke PCICU selama sebulan.

Raiesha disahkan mempunyai jangkitan kuman di paru-paru yang menyebabkan jantungnya bengkak. Selama sebulan, tiga kali Raiesha diintubat. Disebabkan kekurangan oksigen ke otak, Raiesha mula mengalami penyakit baru: cerebral palsy.

Beberapa minggu kemudian, Puan Riena selamat melahirkan cahaya mata. Kakak kepada Raiesha membantu menjaga adiknya buat sementara.Tidak lama selepas itu, pada 15 Jun 2021, Raiesha dapat discaj pulang ke rumah.

Tengah hari esoknya, pada 16 Jun 2021, Raiesha menghembuskan nafasnya yang terakhir pada umur 3 tahun dan 6 bulan.

“Menjaga Raiesha sejak lahir hingga ke akhir hayatnya, cabarannya begitu banyak. Saya hanya lalui dengan perasaan penuh redha dengan takdir,” kata Puan Riena.

“Pengalaman ini memang banyak mengubah diri saya. Menjaga anak yang sakit di hospital, kita pasti kurang tidur, kurang rehat, makan tidak cukup, berperang dengan emosi. Saya dah cukup imun dengan pengalaman ini,”

“Bagi saya, sebagai ibu seorang anak yang sakit, yang istimewa, kita perlu banyak bersabar. Ujian hidup yang Allah bagi memang bermacam-macam. Nak tak nak, kita perlu juga lalui ujian itu,”

Semoga ibu Raiesha dan keluarga diberikan kekuatan dan ditakdirkan untuk berjumpa dengan Raiesha di syurga kelak. Amin.

Terima kasih Puan Riena yang sudi berkongsi kisah Wira Jantungnya. Anda mahu kongsi kisah Wira Jantung anda juga? Layari https://bit.ly/wirajantung!

Leave a Reply

%d