Walaupun Adelene didiagnoskan dengan defek jantung kongenital sejak lahir, dia tidak menyangka episod yang paling sakit di dalam hidupnya akan terjadi pada usia 42, dan membawa kepada diagnosis defek jantung lain yang amat serius.
Sejak kecil, Adelene didiagnoskan dengan prolaps injap mitral (injap mitral yang tidak dapat tutup sepenuhnya), namun tidak pernah perlu makan ubat jantung atau lalui pembedahan dan hanya ke temu janji susulan di Hospital Jantung Sarawak.
Pada Oktober lepas, Adelene mula mengalami demam panas, batuk dan sakit yang memulas pada dada. Tangan kirinya juga mula berasa lenguh. Selepas 3 minggu simptom tidak reda, Adelene pergi berjumpa dengan doktor.
Selepas pelbagai-bagai ujian, akhirnya doktor mendiagnoskan Adelene dengan Sindrom ALPACA – satu sindrom jarang jumpa di mana arteri koronari kiri (saluran darah yang membekalkan darah kepada jantung) terbit daripada arteri pulmonari (kebiasaannya adalah daripada aorta). Sindrom ALPACA sebuah keadaan yang amat serius – hanya 10% dapat hidup hingga dewasa tanpa pembedahan.
Doktor di hospital tidak menyangka yang Adelene mempunyai ALCAPA dan mengaturkan pembedahan untuk Adelene secepat mungkin.
Kami tanya Adelene sama ada dia juga terkejut dengan diagnosis itu.
“Tidak juga. Saya dah redha dari kecil banyak diuji dengan penyakit. Dalam erti kata lain, saya tak ada perasaan masa doktor beritahu saya. Saya dah penat sebab sejak kecil saya sakit. Banyak sangat benda yang saya terpaksa lepaskan selama 42 tahun saya hidup. Jadi pada waktu itu, bila ada peluang untuk membuat pembedahan, saya memang takkan lepaskan,”
“Saya tidak fikirkan sangat komplikasi pembedahan, sekiranya saya tidak dapat diselamatkan. Yang penting, saya sudah cuba, dan saya berserah demi peluang kedua dalam kehidupan.”
Syukur kepada Tuhan, pembedahan Adelene berjaya. Adelene dapat discaj pulang kepada keluarga dan empat orang anaknya serta dapat kembali bertugas sebagai cikgu tadika selepas pulih.
Pencapaian yang paling dibanggakan sejak pembedahan?
“Masa saya menuntut di universiti, saya cemburu dengan kawan-kawan yang dapat mendaki Gunung Kinabalu, peluang itu bagaikan terlepas untuk saya,”
“Tapi minggu lepas, saya dapat mendaki 200 anak tangga untuk ke gereja saya buat kali pertama. Perasaan itu, saya tidak dapat gambarkan,”
Pesanan Adelene: Walaupun dah pulih, kesihatan diri mesti dijaga. Nikmat kesihatan itu mahal. Hanya berserah dan meminta untuk dipermudahkan segalanya, itu sudah cukup. Yang lain, kita hanya boleh berserah kepada kepakaran doktor.
Terima kasih kepada #WiraJantung Adelene yang sudi berkongsi kisahnya yang penuh inspirasi.