Meskipun Puan Nadia mengambil langkah berhati-hati dengan membuat imbasan terperinci (detailed scan) semasa mengandung, diagnosis defek jantung kongenital #WiraJantung Nahda, hanya diketahui selepas kelahirannya.
Imbasan terperinci selalunya dilakukan pada minggu ke-20 kehamilan bagi mengesan keabnormalan pada janin dengan lebih jelas. Walaupun imbasan ini dapat mengesan kebanyakan keabnormalan, keberkesanannya bergantung pada banyak faktor. Peluang untuk terlepas pandang mana-mana keabnormalan tetap ada.
Lapan bulan yang lalu, Nahda dilahirkan dengan patent foramen ovale (patent foramen ovale ialah apabila pembukaan antara ruang jantung atas yang sepatutnya tertutup selepas kelahiran, kekal terbuka), PDA (patent ductus arteriosus – saluran darah duktus arteriosus yang terbuka dan dua VSD (ventricular septal defect – lubang antara ruang bawah jantung).
Sebelum pulang ke rumah daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, jururawat di wad hospital ternampak kesan lekuk pada dada Nahda – salah satu tanda bayi sedang bernafas dengan amat laju. Nahda kemudian ditarik ke NHDU hinggalah ke tarikh pembedahannya, 2 bulan kemudian.
Sebelum pembedahan, Nahda tidak dapat bernafas dengan sendiri tanpa bantuan oksigen. Makan dan minum juga perlu melalui tiub Ryles (sejenis tiub yang dimasukkan melalui saluran hidung hingga ke perut untuk menyampaikan nutrisi dan cecair yang diperlukan), bagi memastikan berat badan Nahda naik dan mengelakkan kepenatan semasa menyusu.
Pada usia 2 bulan, Nahda melalui pembedahan buat kali pertama dalam hidupnya. Pada waktu itu, pembedahan hanya dapat membaiki PDA dan PFO, dengan harapan dua lubang lagi antara ruang jantung dapat tutup dengan sendirinya.
Alhamdulillah, pembedahan Nahda berjaya dan hari ini, enam bulan kemudian, Nahda sudah pun pulih. Nahda bayi yang ceria dan aktif seperti kanak-kanak lain. Berat badan Nahda juga semakin meningkat, walaupun secara perlahan. Kata Puan Nadia, “Parut pembedahan Nahda agak jelas, tapi tak apa, asalkan anak sihat macam biasa.”
Semoga Nahda tidak perlu melalui pembedahan lagi dan dua lubang di jantungnya dapat tutup dengan sendiri.
Anda mahu kongsi kisah Wira Jantung anda? Layari bit.ly/wirajantung!