Semangat #WiraJantung Khayla Ammara mengajar ibunya, Puan Ainur Azreen, tentang erti sebenar redha dan tawakal.
Ammara didiagnoskan dengan penyakit jantung kongenital VSD dan ASD (lubang antara ruang bawah dan atas jantung), patent ductus arteriosus (PDA – saluran darah duktus arteriosus yang terbuka) serta injap yang sempit setelah doktor mengesan desiran jantung atau ‘heart murmur’ pada hari kedua kelahiran.
Desiran jantung merujuk kepada bunyi tambahan pada degupan jantung. Desiran jantung terhasil akibat pengaliran darah yang bergolak di dalam jantung. Ada desiran jantung yang berbahaya dan ada yang tidak berbahaya, bergantung kepada bunyi tersebut.
Apabila mendapat berita tentang diagnosis Ammara, Puan Ainur menceritakan dia berasa dirinya penuh penyesalan dan kesedihan. Namun, setelah melihat semangat perjuangan Ammara yang tinggi, dia kembali bersemangat.
Sebelum mendapat rawatan, Ammara mengalami kegagalan jantung. Kegagalan jantung merupakan komplikasi yang sering berlaku bagi CHD, disebabkan perubahan struktur jantung yang menghalang jantung daripada berfungsi sebaiknya. Ammara juga menghadapi masalah kelewatan perkembangan global (GDD) dan laryngomalacia, di mana kotak suara tidak terbentuk sepenuhnya.
Ammara menjalani pembedahan jantung yang pertama pada usia beberapa bulan sahaja. Pembedahan Ammara berjaya, walaupun tidak dapat membaiki semua defek pada waktu itu. Hari ini, Ammara seorang kanak-kanak 3 tahun yang tetap ceria dan aktif.
Menjaga anak yang mempunyai masalah jantung semestinya datang dengan cabaran yang tersendiri.
“Saya juga seorang ibu yang bekerja. Menghadiri temu janji pakar adalah satu komitmen yang tinggi. Mendapatkan sokongan daripada orang sekeliling pun mencabar,”
Namun begitu, Puan Ainur menceritakan yang dia mendapat semangat dari bukan sahaja anaknya sendiri, tetapi wira jantung yang lain.
“Saya diajar tentang semangat yang kuat dari wira-wira jantung di sekeliling saya. Saya masih sedang belajar mendalami redha dan tawakkal,”
“Semangat anak kita yang tinggi menjadikan kita ibubapa yang sentiasa belajar bahawa kita masih lemah dalam kehidupan. Kita perlu sentiasa belajar tentang redha dan tawakal,” kata Puan Ainur.
Terima kasih Puan Ainur yang sudi berkongsi kisah #WiraJantung Ammara. Semoga Ammara membesar jadi anak yang aktif dan ceria selalu.