Hidup #WiraJantung Asma Abdullah sama seperti seni batik yang dicantingnya – penuh warna dan corak.
Pada umur 12 tahun, Puan Asma disahkan menghadapi masalah jantung. Dua tahun kemudian, bermulalah episod beliau keluar masuk hospital. Pada ketika itu, doktor mengesahkan yang beliau mempunyai injap mitral yang kecil dan telah pun pecah sehingga menyebabkan kegagalan jantung.
Keadaan Puan Asma pada waktu itu parah. Pakar bedah memberikan beliau peluang 50/50 untuk hidup sekiranya dibedah.
Puan Asma menceritakan, “Ibu saya sedih sangat masa tu. Ayah dah meninggal dunia masa umur saya10 tahun. Hanya ibu dengan kakak je yang tolong uruskan saya,”
Tanggal 6/4/1984 merupakan tarikh bersejarah bagi Puan Asma. Pada umur 15 tahun, beliau melalui pembedahan jantung buat kali pertama. Alhamdulillah, pembedahan tersebut berjaya dan Puan Asma dapat pulih dan menjalani kehidupan seperti biasa.
Puan Asma kemudian melanjutkan pelajaran di Institut Kraf Negara, di mana beliau mula menceburi bidang seni batik.
15 tahun kemudian, Puan Asma terpaksa melalui pembedahan jantung untuk mengganti injap yang baru. “Sepatutnya tak perlu operation lagi, tapi masa tu saya dulu kadang-kadang tinggal makan Warfarin. Susah tau kita dari kecil kena makan ubat. Masa remaja kan cepat bosan,” gurau Puan Asma.
Sejak hari itu, Puan Asma tidak pernah menjejak teater pembedahan jantung lagi. Injap mekanikal beliau telah pun bertahan selama 20 tahun.
Puan Asma bertemu jodoh dengan seorang warga Singapura. Rumahtangga mereka dikurniakan dengan tiga orang anak dan tiga orang cucu. Kini, Puan Asma menetap di Singapura selepas menceburi bidang batik selama 28 tahun. Sebagai usahawan batik, Puan Asma pernah menyediakan baju bagi pelbagai orang kenamaan.
Ibu Puan Asma telah meninggal dunia 4 tahun yang lalu.
“Sekarang ibu saya dah tak ada, saya berazam tak nak sakit dah. Ibu sayalah kekuatan saya selama ini. Sekarang saya hanya ada suami dan anak-anak.”
“Kepada pesakit lain, jangan putus asa. Kita harus tetap berani dan kuatkan semangat. Kita kena yakin yang Allah SWT bersama kita.”
Terima kasih Puan Asma sudi kongsikan kisah beliau.