Pada usia 14 hari, Nur Nawrah disahkan mempunyai defek jantung kongenital.
Nawrah dilahirkan dengan PDA (patent ductus arteriosus – saluran darah duktus arteriosus yang terbuka dan dua VSD (ventricular septal defect – lubang antara ruang bawah jantung).
Selepas kelahiran, Nawrah terpaksa dimasukkan di NICU dan berkampung selama sebulan di hospital.
Nawrah juga seringkali perlu masuk ke wad disebabkan masalah lain seperti kegagalan jantung (heart failure) dan bronchopneumonia, jangkitan pada paru-paru yang boleh menjejaskan pernafasan. Kegagalan jantung merupakan komplikasi yang biasa terjadi pada pesakit CHD disebabkan struktur jantung yang abnormal menjejaskan fungsi jantung.
Pada usia hanya beberapa bulan, Nawrah menjalani pembedahan pertama dalam kehidupan. Syukur, setelah mendapat rawatan, Nawrah kini seorang kanak-kanak yang aktif dan ceria.
“Cuma kadang-kadang kalau buat aktiviti lasak macam memanjat dan bermain dia akan nampak penat. Kadang-kadang dia terpaksa masuk wad juga sebab demam atau degup jantung laju.”
Pengalaman ke tadika atau persekolahan bagi kanak-kanak yang lahir dengan defek jantung agak unik daripada kanak-kanak lain.
“Sebagai ibu bapa, kita risau bila anak di taska dan risau anak bermain aktif. Tapi cikgu boleh uruskan dan tahu keadaan anak. Contohnya, cikgu akan bagitahu kat anak murid yang lain supaya jangan main kasar atau tolak Nawrah. Cikgu boleh maklumkan awal-awal kalau anak tak sihat atau sebagainya,” kongsi ibu Nawrah.
Semoga Nawrah membesar dengan penuh kasih sayang dan kekal sihat selalu.