Wira Jantung – Maryam Medina

Maryam Medina adalah puteri bongsu yang dinanti-nantikan ibu bapanya selama hampir sedekad. Lapan bulan pertama kehidupan Maryam normal bersama abang-abangnya. Namun, segalanya berubah apabila Maryam mula jatuh sakit. 

Maryam mula mengalami demam panas dan najis yang berdarah tanpa henti. Di klinik, Maryam didapati mempunyai tahap oksigen yang rendah dan kepekatan darah yang tinggi. Selepas dikejarkan ke Hospital Kajang menaiki ambulans, Maryam ditahan di wad selama seminggu. Akhirnya, Maryam dirujuk ke Hospital Sultan Idris Shah Serdang (HSIS) untuk pemeriksaan lanjut. 

“Hati berdebar-debar apabila Maryam masuk di bilik rawatan ECHO, bermacam-macam bermain di fikiran dan kami mendoakan untuk yang baik-baik sahaja,” cerita Puan Adeliana, ibu kepada Maryam.

Namun, kegusaran di hati Puan Adeliana menjadi realiti setelah doktor di HSIS mengesahkan yang Maryam menghadapi PAVSD with MAPCAs, sejenis defek jantung kongenital jarang jumpa. Malah, jenis MAPCA yang dihadapi Maryam tidak mempunyai rawatan. 

Secara ringkas, MAPCA (Major Aortopulmonary Collateral Arteries) merujuk kepada saluran darah di jantung yang membantu perkembangan janin semasa awal dalam rahim dan sepatunya lesap sebelum kelahiran bayi. Namun, bagi kes seperti Maryam, saluran darah ini kekal dan akhirnya menyebabkan masalah jantung dan paru-paru. PAVSD pula ialah keadaan di mana injap pulmonari tidak terbentuk sepenuhnya serta wujud lubang di antara dua ruang bawah jantung.

Doktor di HSIS memberitahu yang jangka hayat Maryam mungkin antara 2 hingga 5 tahun sahaja. 

“Terasa dunia ini gelap sebentar. Seakan bermimpi tetapi di dunia nyata. Minda mahu menafikan tapi itulah kenyataan,”

Sejak dari itu, keadaan Maryam mula berubah. Pernah sekali di kampung, Maryam mula demam panas dan dibawa ke hospital. Tahap oksigen Maryam menurun, kuku dan bibir Maryam mula membiru. Maryam mula lebih kerap jatuh sakit dan makin susah untuk Maryam melayan abang-abangnya yang suka menyakat. 

Perjuangan bagi Maryam dan keluarga bermula pada titik itu. Puan Adeliana dan keluarga banyak berkorban dari segi masa, wang dan pekerjaan. Pembedahan jantung terbuka bagi Maryam dijadualkan April lepas, bagi membolehkan arteri pulmonari berkembang untuk menyampaikan lebih banyak oksigen ke paru-paru. Sebaik keluar dari teater pembedahan, Maryam dalam keadaan kritikal selama tiga minggu. Namun, Maryam bagaikan memahami isi hati ibu bapanya dan dapat cepat pulih. 

Sekarang, keadaan Maryam lebih baik berbanding sebelum mendapat rawatan, demam tidak sekerap dahulu, tahap oksigen lebih baik dan kadang-kadang biru tetapi tidak seteruk dahulu. Doktor memaklumkan yang pembedahan ini hanya untuk memanjangkan umur Maryam, bukan untuk memulihkan.

Hasil temu janji susulan yang terkini, doktor memberitahu yang keadaan jantung Maryam masih belum stabil dan mungkin shunt yang dipasang mungkin boleh tersumbat. Maryam berisiko mendapat serangan jantung pada bila-bila masa. Buat masa sekarang, Maryam disarankan mengambil ubat jantung dan dijadualkan melalui pembedahan kedua tahun depan. 

Maryam Medina betul-betul seorang Wira Jantung yang tabah dan kuat. Maryam kini berusia dua tahun dan hobinya suka mengemas rumah serta menjadi peminat tegar Omar & Hana serta Upin & Ipin. 

“Harapan kami semoga Maryam sentiasa kuat dan berharap ada keajaiban dari Allah SWT untuk jantung maryam sembuh sepenuhnya. Semoga umur Maryam lebih panjang dari kami. Tapi, andai kata takdir Allah itu melebihi segalanya, kami percaya apa yang terjadi  Allah tidak akan uji hambaNya  di luar kemampuan. Kami cuba belajar berdamai dengan takdir Allah dan sebenarnya kami sudah lama redha. Mungkin dengan ujian yang Allah berikan ini Allah nak naikkan darjat kami. Semoga kami sentiasa diberikan ketabahan, kesabaran yang tinggi untuk menjaga anak syurga. Begitu juga pada orang diluar sana yang senasib dengan kami,”

 

Leave a Reply

%d