Puan Jamilah, 36, bukan sahaja ibu kepada seorang #WiraJantung, tetapi juga merupakan seorang #WiraJantung sendiri.
Pemeriksaan kesihatan rutin yang diminta majikan mendedahkan sesuatu yang abnormal. Pada mulanya disangka sejenis barah tulang, rupa-rupanya menunjukkan jantung Puan Jamilah telah membesar sebelah. Akhirnya, pemeriksaan lanjut mengesahkan yang Puan Jamilah menghidapi mitral valve stenosis (injap mitral yang kecil) dan kemungkinan besar masalah ini wujud sejak lahir lagi.
Diagnosis penyakit jantung Puan Jamilah tidak disangka-sangka. Apatah lagi, beliau tidak mengalami apa-apa simptom pun sebelum ini, serta sudah melahirkan dua cahaya mata dengan selamat.
2 minggu kemudian, Puan Jamilah mendapat tahu beliau sedang hamil anak yang ketiga. Setelah berjumpa dengan pakar jantung, pakar membenarkan Puan Jamilah meneruskan kandungan hingga minggu ke-35, di mana setelah itu c-section perlu dilakukan.
“Pakar beritahu kadang-kadang ada pesakit CHD yang perlu menggugurkan kandungan kerana berbahaya. Saya bersyukur dapat meneruskan kandungan saya hingga minggu ke-35 dan melahirkan anak saya,”
Tidak lama kemudian, Armel Aufa, juga seorang wira jantung, selamat dilahirkan. Setelah itu, Puan Jamilah melalui pembedahan penggantian injap mitral mekanikal. Oleh kerana memiliki injap mekanikal, beliau perlu memakan Warfarin (ubat pencair darah) seumur hidup. “Sebab saya perlu makan Warfarin, doktor sarankan untuk saya tidak mengandung lagi disebabkan kesan sampingan Warfarin. Warfarin boleh memberikan kesan sampingan yang mudarat kepada kandungan,”
Pesanan Puan Jamilah?
“Sentiasalah menghargai masa bersama-sama orang yang kita sayang. Ciptalah banyak kenangan bersama-sama kerana kita tidak tahu apa akan terjadi pada hari esok. Berbahagialah dengan cara kita sendiri tanpa perlu mendengar kata-kata orang lain. Janganlah ternanti-nanti untuk melakukan sesuatu kerana takut kita tidak sempat melakukan apa-apa pun.”
Terima kasih Puan Jamilah atas perkongsian kisah #WiraJantung beliau. Semoga semua usaha kedua-dua wira jantung dimudahkan.