Dilahirkan dengan enam jenis defek jantung sekaligus, Adra Aisyah seorang #WiraJantung yang telah melalui pelbagai peristiwa dan cabaran pada usia yang muda.
Adra dilahirkan dengan transposition of the great arteries, pulmonary atresia, double-outlet right ventricle, ventricular septal defect, patent ductus arteriosus dan patent foramen ovale. Kesemua penyakit jantung kongenital yang dihadapi Adra menjejaskan struktur jantung secara keseluruhan, termasuk injap, dinding dan saluran darah jantung.
Setelah dikenalpasti Adra mempunyai defek jantung pada usia kandungan 22 minggu, ibu, Puan Diana berkongsi, “Hampir dua bulan saya menangis siang malam sebab saya fikir saya akan kehilangan dia. Tapi sampai satu masa, akhirnya saya redha,”
Disebabkan saluran darah antara jantung dan paru-paru yang tidak terbentuk sepenuhnya, Adra melalui pembedahan yang pertama dalam hidupnya hanya 34 hari selepas kelahiran. Tidak lama kemudian, Adra melalui pembedahan Glenn shunt yang kedua. Pembedahan yang ketiga, bakal dilakukan dalam beberapa tahun lagi. Adra baru berumur hampir 2 tahun.
Puan Diana berkongsi keadaan Adra sebelum mendapat rawatan agak mencabar. Disebabkan mudah terkena jangkitan, Adra dimasukkan ke PCICU sebanyak tiga kali, dan pernah hampir ditidurkan. Hari ke hari, paras oksigen Adra hanya dalam lingkungan 75-80% sahaja. Namun, semangat Adra masih tetap kuat.
Sejak melalui pembedahan baru-baru ini, Adra semakin pulih dan mula ceria dan aktif semula, walaupun masih mengalami simptom kebiruan dan paras oksigen dalam badan yang rendah.
Puan Diana tidak terlepas daripada cabaran ibu-ibu Wira Jantung yang juga bekerja. “Banyak kekangan masa sebab perlu ulang alik dari Melaka ke Serdang. Tapi Alhamdulillah, saya diberi pentadbir yang memahami,” kongsi Puan Diana.
“Sesungguhnya, saya seorang ibu yang benar-benar lemah melihat kesakitan seorang anak. Saya meminjam semangat dan kekuatan anak saya yang dah lalui macam-macam dalam hidup pada usia yang terlalu muda,”
“Anak anak jantung adalah anak yang sangat kuat. Semoga semua urusan anak kita dipermudahkan,”
Terima kasih sudi kongsi kisah Wira Jantung Adra Aisyah yang sangat kuat. Semoga segala urusan dipermudahkan.