Wira Jantung – Syakirah

“Sakit bukan penghalang untuk kita melakukan pelbagai aktiviti kesukaan kita. Hidup mesti ceria, bahagia,”  kongsi Wira Jantung Syakirah, 34 tahun. 

Diagnosis penyakit jantung kongenital #WiraJantung Syakirah Mohd Yusof, 34,  dikenal pasti pada umur 4 bulan. Syakirah dilahirkan dengan VSD (lubang antara ruang jantung bawah) serta mengalami RVOT PVC, yang menyebabkan denyutan jantung yang laju. Disebabkan saiz lubang yang agak kecil, sejak kecil beliau hanya perlu menghadiri temu janji berjadual di hospital. 

Kini, Syakirah sudah pun meningkat dewasa dan telah pun mendirikan rumah tangga. Syakirah berkongsi yang keadaan jantungnya mula berubah. “Sekarang ini, saya rasa mudah letih dan penat hingga ke dada. Bila saya rasa macam tu, saya akan berehat sebentar dan baru mulakan aktiviti balik,” Kini, Syakirah menunggu temujanji dengan doktor untuk mengetahui tindakan seterusnya.

Membesar sebagai seorang Wira Jantung, Syakirah berkongsi yang pengalaman ini membuatkan beliau menjadi seorang yang kuat semangat, lebih bermotivasi dan dapat membuat pelbagai aktiviti. 

Sakit bukan penghalang bagi Syakirah untuk melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading dan berbakti kepada masyarakat. Memiliki diploma dalam bidang e-Commerce serta diploma pendidikan awal kanak-kanak, beliau kini bekerja sebagai seorang guru dan pendidik di sebuah tadika PASTI di Selangor. 

“Sakit bukan penghalang untuk kita bekerja dan mencari rezeki. Saya lebih bersemangat apabila berhadapan dengan anak murid saya,”

“Yang paling penting kita tahu keupayaan kita untuk melakukan kerja yang kita boleh buat dan aktiviti lasak yang kita tidak perlu buat,”  Syakirah menceritakan pada zaman persekolahan, beliau tidak dapat mengikut serta aktiviti lasak.

“Hati meronta-meronta nak ikut pertandingan kawad di peringkat sekolah dan IPT, tapi malangnya tidak diizinkan,” 

Kini, sebagai seorang guru tadika, beliau dapat mengikuti aktiviti ringan bersama anak murid. 

“Hidup mesti ceria, bahagia. Anggaplah ini sebagai ujian. Kuatkan semangat dan ceria selalu, lawan sakit kita. Banyakkan berdoa. Banyakkan aktiviti ringan yang baik bersama kawan-kawan. Ada banyak hikmah sakit yang Allah bagi kat kita,”

Leave a Reply

%d