“Mesej kepada diri saya yang dahulu: sentiasalah bersangka baik dengan apa yang berlaku,” kongsi Aqilah Ibrahim, 32 tahun, seorang #WiraJantung Tetralogy of Fallot.
Didiagnoskan dengan ToF pada umur 4 tahun, Aqilah melalui pembedahan jantung buat kali pertama pada umur 5 tahun. Aqilah telah melalui dua lagi pembedahan setelah meningkat dewasa, dan baru-baru ini melalui pembedahan jantung untuk mengganti injap pulmonari baru-baru ini.
Membesar dengan penyakit jantung kongenital membawa pengalaman yang positif dan negatif bagi Aqilah. Dari segi sokongan keluarga, Aqilah menceritakan dia mendapat kekuatan daripada kakak yang mahukan yang terbaik untuk dirinya. “Kakak sayalah yang minta doktor teruskan rawatan ini sedangkan saya banyak kali mengelat. Akhirnya saya terima dengan redha dan mahukan yang terbaik untuk saya,”
Kesan berjumpa dengan kawan-kawan yang juga Wira Jantung juga membantu. “Bila saya jumpa orang yang sakit sama macam saya, dialah yang bagi semangat dan sokongan untuk teruskan pembedahan buat kali kedua,”
Aqilah berkhidmat sebagai seorang guru tadika dan pada hari hujung minggu mengambil masa untuk mengajar kelas muallaf mengaji.
Namun, Aqilah juga tidak terlepas daripada pengalaman negatif yang menjadi sebati dengan kehidupan seorang Wira Jantung. “Pengalaman kerja saya pernah ditolak apabila memberitahu mereka yang saya ada masalah jantung. Kali kedua, saya mohon dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kerja. Sedihnya lepas balik klinik, terus syarikat itu bagi surat letak jawatan tanpa sebab. Bila ditanya kenapa saya diberhentikan, mereka kata sebab saya tidak cekap,”
“Saya redha dengan apa hikmah yang berlaku,”