Didiagnoskan dengan atresia pulmonari dan defek septum atrium sejak bayi lagi, Mariah, kini 33, seorang #WiraJantung yang telah melalui pembedahan jantung sebanyak 5 kali.
Pada mulanya dilahirkan normal dan sihat, selepas episod demam panas pada usia tiga bulan, Mariah dibawa ke hospital. Di sana, doktor mengesan bunyi jantung yang tidak normal dan selepas ujian lanjut, Mariah disahkan menghidapi atresia pulmonari (keadaan di mana injap pulmonari tidak terbentuk sepenuhnya) dan ASD (atrial septal defect – lubang antara dua ruang jantung atas).
Mariah pernah memasuki teater pembedahan jantung sebanyak lima kali, antara tahun 1993 hinggalah 2013.
Menceritakan pengalaman yang dilalui, Mariah berkata, “Ketika masih belajar di politeknik, injap saya membengkak. Saya mula cepat penat. Tidak cukup nafas. Saya mula tidak hadir ke kelas kerana terpaksa keluar masuk wad. Tapi akhirnya saya berjaya juga menghabiskan pengajian sebelum menjalani pembedahan,”
“Saya menjalani kehidupan yang normal setelah pembedahan. Saya boleh berlari. Boleh turun naik tangga. Melakukan kerja seperti biasa. Sekarang saya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki,” kongsi Mariah tentang pengalaman beliau membesar dengan CHD.
Kepada orang ramai, Mariah berpesan, “Jagalah jantung anda dengan sebaik baiknya. Sekiranya didapati anda atau anak anda ada sakit jantung jangan berputus asa. Sentiasa positif,”
Terima kasih Mariah sudi berkongsi kisah sebagai seorang #WiraJantung!