Wira Jantung – Nayla

Beberapa bulan pertama kehidupannya, #WiraJantung Nayla hanya dapat mengenali bangunan hospital. Setelah dilahirkan dengan tangisan yang tidak kuat dan kebiruan, Nayla dimasukkan ke NICU sejurus selepas kelahiran.

Tiga hari kemudian, pakar jantung mengesahkan yang Nayla mempunyai PAVSD with MAPCAs, sejenis defek jantung kongenital jarang jumpa. PAVSD ialah keadaan di mana injap pulmonari tidak terbentuk sepenuhnya serta wujud lubang di antara dua ruang bawah jantung. Secara ringkas, MAPCA (Major Aortopulmonary Collateral Arteries) merujuk kepada saluran darah di jantung yang membantu perkembangan janin semasa awal dalam rahim dan sepatunya lesap sebelum kelahiran bayi. Namun, bagi kes seperti Nayla, saluran darah ini kekal dan akhirnya menyebabkan masalah jantung dan paru-paru.

Disebabkan pandemik COVID-19, ibu Nayla hanya sempat memegang Nayla sebelum hari ketiga kelahirannya selama di hospital.

“Saya hanya dapat bertanya khabar Nayla melalui panggilan telefon ke wad dan berbual dengan doktor yang bertugas. Ibu bapa tidak dibenarkan melawat disebabkan polisi melawat hospital yang ketat sewaktu pandemik. Sehinggalah Nayla berumur sebulan saya meminta izin untuk berjumpa Nayla akibat rindu seorang ibu yang tidak dapat ditanggung lagi,” kongsi ibu Nayla.

“Sayu, pilu, hiba apabila kali pertama dapat memegang anak syurga ini. Begitu kuatnya Nayla berjuang demi hidupnya,”

Selepas 85 hari, Nayla akhirnya dapat dibawa pulang ke rumah dan walaupun tidak mengalami kesukaran yang serius, kerap muntah selepas minum dan bergantung kepada tiub Ryles untuk makan minum. “Pada mulanya saya risau jika tiub yang dimasukkan tidak berada pada tempat yang sepatutnya. Alhamdulillah keadaan Nayla sudah bertambah baik sejak umur 7 bulan dan ke atas,”

Nayla yang turut didiagnoskan dengan Sindrom DiGeorge, cepat jatuh sakit sekiranya terdedah dengan persekitaran yang berisiko. “Penjagaan yang rapi dan ubat diberikan mengikut arahan doktor mengelakkan kesan yang buruk terhadap tahap kesihatan Nayla,”

“Semoga Nayla terus kuat dan sihat untuk berjuang demi hidupnya. Semoga Allah memanjangkan usia Nayla dalam kesihatan yang baik agar dapat mencipta lebih banyak memori bermakna bersama keluarga. Mohon doa daripada semua untuk Nayla dan rakan-rakan Nayla yang lain yang turut sma dalam keluarga CHD agar dikurniakan kesihatan yang baik. Ternyata anak-anak ini anak-anak yang hebat dan kita ibu bapa meminjam kekuatan ini daripada mereka,”

Kini, Nayla sudah pun berumur 1 tahun lebih, dan menunjukkan perkembangan yang baik seiring dengan usia. Nayla gemar bermain dan bergurau bersama ahli keluarga, serta menonton Upin-Ipin dan mendengar alunan zikir dan nasyid.

Terima kasih sudi berkongsi kisah #WiraJantung Nayla!

Leave a Reply

%d