Pada mulanya, Siti El Zahra nampak seperti mana-mana bayi biasa. Namun, pada hari ke-9 kelahirannya, muka dia mula nampak kebiruan. Puan Raudah, ibunya, bergegas membawa Zahra ke hospital.
Di sana, doktor mengesahkan yang Zahra menghidapi Transposition of the Great Arteries (TGA), di mana aorta dan arteri pulmonari berkedudukan silang ganti serta ventricular septal defect (VSD), lubang antara ruang jantung bawah.
“Masa itu,saya rasa yang anak saya memang tak dapat hidup lama dan saya takkan dapat melihat dia membesar dengan baik. Saya betul-betul rasa perasaan dan hati saya diuji Allah SWT,”
Pada waktu itu, keadaan Zahra mula sangat lemah. Doktor memaklumkan yang kebarangkalian Zahra untuk hidup hanyalah 30%.
“Saya dah redha jika saya akan kehilangan anak saya pada masa itu, tetapi dengan izin-Nya Allah panjangkan usianya. Selepas prosedur stent dibuat pada esoknya, anak saya berjaya diselamatkan,”
Pengalaman di NICU selama sebulan meninggalkan kesan yang mendalam bagi Puan Raudah dan suami. “Pengalaman ini mengajar saya dan suami supaya banyak bersabar. Saya terpaksa ambil cuti tanpa gaji untuk tumpukan sepenuh perhatian kepada anak saya,”
Setelah prosedur stent dilalui dua kali lagi, akhirnya Zahra mendapat tarikh pembedahan untuk membaiki kedua-dua TGA dan VSD sekaligus. Syukur, pembedahan tersebut berjalan lancar dan kini, Zahra sudah pun berumur lima tahun dan kelihatan lebih ceria, aktif dan gembira seperti rakan-rakan sebaya.
Dari segi kewangan, Puan Raudah menceritakan dia bersyukur majikan suaminya dapat menampung segala kos rawatan Zahra. Namun, keadaan Zahra masih mencabar dari segi emosi. Sokongan dari keluarga dan kawan terdekat membantu mereka sekeluarga menghadapi cabaran ini.
“Saya belajar untuk sentiasa menghargai masa yang ada untuk bersama anak anak. Bila anak kita sakit dan terpaksa terlantar di hospital, di situ saya jumpa ramai anak anak yang senasib dengan anak kita, malah ada yang lebih kurang bernasib baik dari anak saya. Sentiasalah bersyukur dengan apa yang kita ada,” kongsi Puan Raudah.
“Kepada ibu bapa pesakit CHD, kuatkan semangat anda, jika kita kuat dan semangat ,anak kita juga akan ikut kuat dan bersemangat. Kepada orang ramai, berilah semangat dan dorongan kepada mereka yang dalam kesusahan, jika tidak dapat membantu dari segi kewangan, mungkin boleh hulurkan bantuan dari segi memberikan semangat,”
Terima kasih Puan Raudah atas perkongsian #WiraJantung dan semoga Zahra terus membesar dengan sihat dan baik!